
Baru-baru ini Sahabat Alif telah beramah mesra dengan seorang anak ulama yang tidak asing di Kelantan. Beliau ialah Dr. Lokman Abdullah seorang anak tokoh ulama Almarhum Tuan Guru Haji Abdullah Pondok Lubok Tapah Pasir Mas Kelantan.
Kebetulan pula kami sempat menuntut ilmu dengan Dr.Lokman di Universiati Malaya ketika mengambil Diploma Syariah di sana. Dr. Lokman ketika itu merupakan seorang Ketua Jabatan Usul Fiqh di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya.
Pada tahun 2008 Tuan Guru Hj. Abdullah telah kembali kerahmatullah. Sekarang Pondok Lubok Tapah diwariskan kepada Dr.Lokman. Kami sempat berbual bertanyakan perkembangan pendidikan semasa dan juga perkembangan pendidikan pondok bersama beliau.
Dr. Lokman nampaknya begitu cekal mengharungi cabaran kerana terpaksa membahagikan masa untuk mengendalikan pondok yang telah diwariskan kepadanya dengan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar di UM.
Apatah lagi isteri beliau pula sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom. Antara mengurus keluarga, pondok dan kerjaya tentulah ianyan bukan mudah. Tapi kami nampak Dr.Lokman ceria dan begitu mudah tersenyum sepanjang perbualan.
Bagaimana pula ya kalau kita berada di tempat beliau? Isteri nun jauh di negeri orang dan bukan mudah untuk ke sana, anak-anak pula pasti merindui ibu, kemudian kena berulang alik melihat perkembangan pondok pengajian di Kelantan. Pasti kita sudah mengeluh panjang.
Kadang-kadang saya terfikir juga, kita belum cukup sibuk tapi mudah sangat mengungkapkan perkataan sibuk dan tak ada masa. Ini berlaku kerana mungkin kita jarang melihat orang lain dan hanya mementingkan diri kita dan persekitaran kita sahaja.
Ada masa pula untuk shopping hujung minggu, family trip, family gathering dan sebagainya. Tapi kalau minta masa untuk kerja amal dan kebajikan mulalah zikir sibuk berkumandang.
Pada pertemuan tersebut Alif Consultant telah memberi sumbangan bernilai RM1000.00 untuk membantu pengajian dan keperluan untuk Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas Kelantan kepada beliau.
Mudah-mudahan sumbangan yang tidak seberapa ini diterima sebagai amal yang soleh di sisi Ilahi






1 comments:
pensyarah saya tuu di umcced..
Post a Comment