Rombongan Sahabat Alif sempat mengunjungi Rumah Jagaan Orang Tua Al-Ikhlas bagi kali kedua baru-baru ini. Rombongan Sahabat Alif kali ini agak ramai yang dapat hadir dan meluangkan masa bersama warga emas yang tinggal disini.
Setibanya kami ke rumah jagaan warga emas, kami telah disambut dengan senyuman dan penuh kemesraan. Kami telah dimaklumkan tiga orang warga emas telah meninggal dunia baru-baru ini. Mereka adalah yang sempat kami ziarahi pada lawatan kami yang pertama di bulan Syawal 2009.
Puan Muji menceritakan beliau akan menggantikan katil yang kosong dengan penghuni yang baru. Penghuni tersebut adalah yang terlantar di hospital Serdang dan tiada saudara mara. Begitulah keikhlasan yang jelas terpancar diwajah Pn. Muji bila menceritakan beliau mampu menjaga seramai 22 orang warga emas.
Lebih terpegunnya kami ialah Pn. Muji adalah pesakit barah peringkat keempat dan masih menerima rawatan di hospital. Beliau sedang bercuti selama hampir 3 tahun bagi merawat penyakit barah yang dihadapinya. Beliau juga merupakan seorang jururawat di hospital kerajaan.
Aduh, rasa malu rasanya kita yang sihat pun tidak mampu untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab sedemikian.
Kami sempat juga beramah mesra dengan penghuni disini dan anak-anak kami juga tidak terlepas peluang dengan pelbagai aksi yang mampu menceriakan dalam lawatan ini. Sedikit sebanyak kami harap mereka terhibur dengan telatah anak-anak kami. Walaupun kami tidak mampu menyelami perasaan mereka namun wajah kesayuan jelas kelihatan diwajah mereka.
Ya Allah berikanlah kekuatan dan kesihatan yang sihat kepada Pn. Muji dan keluarganya untuk membantu warga emas yang ditinggalkan ini. Amin






0 comments:
Post a Comment