Sunday, November 1, 2009

Kejayaan Perlu Pengorbanan


Semua manusia ingin berjaya dalam hidup. Pelbagai perkara yang ingin dicapai dan pastinya mengharapkan ianya berjaya. Cuba kita renung sebentar dan bertanya pada diri kita apakah kejayaan yang kita cari. Mungkin tak terkira rasanya perkara yang ingin kita capai dan berjaya. Dan ada kalanya kejayaan yang kita harapkan tak kesampaian pula akhirnya.

Pernahkah kita fikirkan bahawa segala kejayaan yang telah kita kecapi sebenarnya melalui satu proses yang disebut sebagai pengorbanan. Cuba kita perhatikan setiap kejayaan yang telah dicapai sebelum ini sebenarnya melalui proses itu. Sama ada ianya pengorbanan masa, wang, tenaga, fikiran, usia dan lain-lain lagi.


Boleh jadi juga ada yang berpandangan istilah pengorbanan ini terlalu besar dan tidak sesuai bagi mengukur kejayaan yang telah dan akan dikejar. Saya berpendapat semuanya perkara yang ingin kita lakukan memerlukan pengorbanan. Lebih-lebih lagilah sekiranya kejayaan yang mampu mengubah kehidupan manusia.

Mungkin satu contoh mudah boleh kita kongsi bersama, kisah yang berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim dan Ismai. Peristiwa yang dirakamkan dalam al-Quran tentang arahan penyembelihan oleh Nabi Ibrahim terhadap anakandanya Nabi Ismail. Tuntutan melaksanakan perintah Allah ini adalah suatu ujian yang amat besar sekali. Seorang ayah yang sudah bertahun menanti cahaya mata kemudian disuruh pula disembelih buah hatinya itu. Manakala di pihak anak pula Nabi Ismail redha dengan ketentuan dengan perintah dari Allah dan sanggup dikorbankan.

Nabi Ibrahim perlu mengorbankan seluruh perasaan cinta dan kasih terhadap anak kepada taat kepada Allah. Cuba kita renungkan serta cuba sedaya upaya menyelami perasaan Nabi Ibrahim. Begitu jugalah kita bayangkan sekiranya kita berada di posisi Nabi Ismail. Waduh...gawat sekali.

Namun kesudahan disisi Allah akibat dari kepatuhan mengikut perintahNya maka kejayaanlah yang selayak tempat bagi kedua-dua Nabi Allah ini. Bukankah kita dapat mengambil pengajaran bahawa pengorbanan perasaan, kecintaan, keyakinan, ketakutan dan pelbagai lagi menjadi ramuan kepada kejayaan yang diharungi oleh mereka berdua? Pengorbanan bukan sekadar buat-buat tetapi sehingga nyawa menjadi pertaruhan telah menjadikan keduanya hamba yang dikasihi Allah. Bukankah ini suatu kejayaan yang sangat besar, iaitu menjadi hamba yang di iktiraf dikasihi oleh Penciptanya.

Pendek kata dalam kehidupan kita di dunia mahupun sehingga ke alam akhirat, maka setiap kejayaan itu memerlukan pengorbanan. Untuk berjaya manusia kena berkorban masa, tenaga, fikiran, wang ringgit dan pelbagai lagi. Antara yang paling mustahak sekali ialah mengorbankan sifat-sifat buruk kepada sifat-sifat yang baik. Mengorbankan perilaku yang tidak baik seperti berdusta, mungkir janji, tidak ikhlas, bangga diri, riak (mazmumah) dan sebagainya kepada yang baik atau disebut sifat mahmudah. Mengorbankan perkara-perkara ini akan meningkatkan kita ke makam kejaayaan yang dipandang mulia oleh Pencipta.

Justeru itu bagi mencapai kejayaan manusia kena berkorban. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Pengorbanan bermula dalam diri iaitu mengorbankan sifat-sifat keji dalam diri manusia. Maka barulah tumbuh benih-benih kejayaan.Selamat menuju kejayaan.

.

0 comments:

Post a Comment