Qurban di Kemboja

Klik pada gambar bagi mendapatkan borang penyertaan.

Anda Berhak Cemerlang

Program yang khusus dianjurkan untuk persediaan dan halatuju pelajar yang akan menghadapi PMR dan SPM. Program ini boleh dianjurkan di sekolah. Kadar bayaran tidak ditetapkan oleh pihak Alif Consultant. Jangan lepaskan peluang untuk bersama Trainer kami yang bertauliah dan terlatih. Insya Allah kita dapat manfaat bersama.

Apa Erti Saya Menganut Agama Islam?

Apa Erti Saya Menganut Islam sebuah buku yang dikarang oleh Almarhum Dr. Fathi Yakan. Buku yang telah di terjemah dalam pelbagai bahasa di dunia. Sewaktu saya mula menjejak kaki ke Universiti buku ini telah di perkenalkan untuk bacaan dalam kumpulan usrah. Buku ini mudah untuk di fahami sekiranya pembacanya benar-benar menghayati setiap perkataan yang ditulis dengan limpahan kasih dan sayang oleh seorang pejuang Islam demi memantapkan aqidah dan perjuangan.

BINA ORGANISASI ANDA

Organisasi yang berjaya adalah organisasi yang mempunyai kakitangan yang bekerja dalam kumpulan. Ukuran kejayaan dalam setiap organisasi dinilai pada sejauh mana individu dalam organisasi berperanan dalam kumpulan. Pentingnya kerjasama dalam membina keutuhan organisasi adalah penglibatan individu yang komited terhadap tujuan bersama atau matlamat kerja yakni mereka sedia mengambil tanggungjawab secara kolektif.

Mahasiswa Penggerak Perubahan Negara

Mahasiswa penggerak perubahan negara. Bermula dari bulan ini hingga September kita akan melihat generasi baru menjejak kaki ke menara gading. Setelah melalui zaman persekolahan akhirnya mereka yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia mula mendaftar ke institusi pengajian tinggi.

Tuesday, November 10, 2009

Tak Cukup Masa









"Saya rasa tak cukup masa nak buat semua perkara yang saya inginkan", keluh sahabat saya baru-baru ini.



"Tambahan pula saya sambung belajar dan berkeluarga,"tambahnya mengeluh.



"Macam mana ustaz bahagikan masa?" dia bertanya dengan penuh minat.



"Sebenarnya apa pun yang kita lakukan ianya mestilah dirancang dahulu,"saya memberi penjelasan.



"Kalau kita sendiri tidak membuat perancangan dan tidak tahu nak meletakkan keutamaan pada perancangan kita, maka kelam kabutlah jadinya," saya menambah.



Sahabat yang mendengar tadi mulalah mengangguk. Entahlah faham ke atau lagi pening dibuatnya....



Mungkin kita juga sering melalui atau mendengar keluhan dari orang lain tentang pembahagian masa. Ada orang yang hidupnya sentiasa "mengejar masa" dan ada pula yang "tak cukup" masa. Lagi sedih ialah kalau ada yang "buang masa". Tetapi hakikatnya semua orang "ada masa".



Keadilan yang Tuhan bagi kepada manusia ialah semua orang ada masa. Contoh yang boleh kita lihat ialah tentang kejadian manusia sendiri. Iaitu dari air mani bercantum dengan benih kemudian menjadi darah kemudian menjadi daging seterusnya melalui proses dalam kandungan hinggalah kelahiran semuanya berkisar dengan masa. ibu yang mengandung lebih memahami dan merasai proses ini.



Tidak ada manusia yang lahir tiba-tiba terus dewasa. Manusia melaui proses pembesaran dari seorang bayi menjadi kanak-kanak kemudian mencapai usia remaja dan dewasa. Semua proses ini melibatkan masa dan juga keutamaanya. Ianya berjalan dengan teratur dan tidak sama sekali lari dari peraturan ini.



Begitu juga cuba kita renungkan bila kita diberi akal yang sempurna iaitu akal yang matang, maka pemerhatian dan pemahaman merupakan aspek yang sangat penting dalam kita mengatur masa. Sebab itu al-Quran sering memberi peringatan kepada manusia agar berfikir dan melihat.Dengan menggunakan dua mekanisma ini maka barulah manusia mula berfikir dan merancang.



Berbalik kepada perkara awal yang kita sentuh di awal tadi, sekiranya ingin mengeluarkan diri daripada kekusutan dan kekalutan maka perkara yang perlu diberi perhatian pada pandangan saya ialah:



Pertama, mengatur atau membuat perancangan terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu kerja atau tugasan.



Kedua, perancangan yang hendak dibuat mestilah sesuatu yang rasional dan bukan atas rasa emosional.



Ketiga, sesuatu kerja, tugasan atau perkara yang hendak dilaksanakan perlu disusun mengikut keutamaannya.



Keempat, setiap kerja yang hendak dilakukan mestilah sesuai dengan kemampuan serta keupayaan kita.



Kelima, sekiranya gagal dalam mencapai sesuatu yang telah disusun dan diatur serta gagal mencapai sasarannya, maka melakukan post mortem adalah penting bagi memastikan kegagalan dapat dibendung.



Perkara-perkara ini adalah asas dalam menguruskan masa. Ianya tidak akan membawa kita ke mana-mana sekiranya diri sendiri tidak berusaha melakukanya. Sayugia diingatkan masa akan menjadi nilai dan permata yang besinar sekiranya manusia mampu mengurus masanya antara DIRI dan PENCIPTANYA.

.

Sunday, November 1, 2009

Kejayaan Perlu Pengorbanan


Semua manusia ingin berjaya dalam hidup. Pelbagai perkara yang ingin dicapai dan pastinya mengharapkan ianya berjaya. Cuba kita renung sebentar dan bertanya pada diri kita apakah kejayaan yang kita cari. Mungkin tak terkira rasanya perkara yang ingin kita capai dan berjaya. Dan ada kalanya kejayaan yang kita harapkan tak kesampaian pula akhirnya.

Pernahkah kita fikirkan bahawa segala kejayaan yang telah kita kecapi sebenarnya melalui satu proses yang disebut sebagai pengorbanan. Cuba kita perhatikan setiap kejayaan yang telah dicapai sebelum ini sebenarnya melalui proses itu. Sama ada ianya pengorbanan masa, wang, tenaga, fikiran, usia dan lain-lain lagi.


Boleh jadi juga ada yang berpandangan istilah pengorbanan ini terlalu besar dan tidak sesuai bagi mengukur kejayaan yang telah dan akan dikejar. Saya berpendapat semuanya perkara yang ingin kita lakukan memerlukan pengorbanan. Lebih-lebih lagilah sekiranya kejayaan yang mampu mengubah kehidupan manusia.

Mungkin satu contoh mudah boleh kita kongsi bersama, kisah yang berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim dan Ismai. Peristiwa yang dirakamkan dalam al-Quran tentang arahan penyembelihan oleh Nabi Ibrahim terhadap anakandanya Nabi Ismail. Tuntutan melaksanakan perintah Allah ini adalah suatu ujian yang amat besar sekali. Seorang ayah yang sudah bertahun menanti cahaya mata kemudian disuruh pula disembelih buah hatinya itu. Manakala di pihak anak pula Nabi Ismail redha dengan ketentuan dengan perintah dari Allah dan sanggup dikorbankan.

Nabi Ibrahim perlu mengorbankan seluruh perasaan cinta dan kasih terhadap anak kepada taat kepada Allah. Cuba kita renungkan serta cuba sedaya upaya menyelami perasaan Nabi Ibrahim. Begitu jugalah kita bayangkan sekiranya kita berada di posisi Nabi Ismail. Waduh...gawat sekali.

Namun kesudahan disisi Allah akibat dari kepatuhan mengikut perintahNya maka kejayaanlah yang selayak tempat bagi kedua-dua Nabi Allah ini. Bukankah kita dapat mengambil pengajaran bahawa pengorbanan perasaan, kecintaan, keyakinan, ketakutan dan pelbagai lagi menjadi ramuan kepada kejayaan yang diharungi oleh mereka berdua? Pengorbanan bukan sekadar buat-buat tetapi sehingga nyawa menjadi pertaruhan telah menjadikan keduanya hamba yang dikasihi Allah. Bukankah ini suatu kejayaan yang sangat besar, iaitu menjadi hamba yang di iktiraf dikasihi oleh Penciptanya.

Pendek kata dalam kehidupan kita di dunia mahupun sehingga ke alam akhirat, maka setiap kejayaan itu memerlukan pengorbanan. Untuk berjaya manusia kena berkorban masa, tenaga, fikiran, wang ringgit dan pelbagai lagi. Antara yang paling mustahak sekali ialah mengorbankan sifat-sifat buruk kepada sifat-sifat yang baik. Mengorbankan perilaku yang tidak baik seperti berdusta, mungkir janji, tidak ikhlas, bangga diri, riak (mazmumah) dan sebagainya kepada yang baik atau disebut sifat mahmudah. Mengorbankan perkara-perkara ini akan meningkatkan kita ke makam kejaayaan yang dipandang mulia oleh Pencipta.

Justeru itu bagi mencapai kejayaan manusia kena berkorban. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Pengorbanan bermula dalam diri iaitu mengorbankan sifat-sifat keji dalam diri manusia. Maka barulah tumbuh benih-benih kejayaan.Selamat menuju kejayaan.

.