Alhamdulillah kita sudah berada dalam Bahtera Ramadan. Pelayaran ini mengambil masa sekitar 29 ke 30 hari. Pelayaran ini pasti mencabar tetapi lanun-lanun telah dikawal agar tidak menganggu pelayaran ini. Biasanya dalam pelayaran selain bulan ini gangguan dari lanun-lanun amat ketara sekali. Tapi Bahtera Ramadan kali ini lebih kukuh dan kepastian untuk mendapat hasil yang lumayan dari Bahtera Ramadan ini memang sudah dijangkakan. Hasilnya pasti tidak mengewakan .
Bahtera Ramadan sudah berada di lautan nikmat dan berkat masuk hari kelima hari ini. Wajah-wajah ceria dan semangat jelas terpancar di wajah anak-anak kapal. Walaupun sesekali nampak kepenatan di wajah mereka namun kesungguhan untuk mengutip hasil dari pelayaran ini menjadi keutamaan.
Pengalaman dari pelayaran Bahtera Ramadan tahun-tahun lepas menjadikan semangat untuk anak-anak kapal mengutip dan membawa hasil yang lebih. Kesilapan dan kealpaan dikurangkan. Setiap detik waktu diperhatikan agar ianya tidak berlalu begitu sahaja. Tidak kira siang mahupun malam anak-anak kapal sentiasa merebut peluang bersama pelayaran ini.
Ah... aku melihat ramai juga yang terleka dalam Bahtera Ramadan. Ada juga yang menghabiskan masa dengan aktiviti yang tak mendatangkan hasil. Di kiri kanan aku perhatikan ada yang leka dan tidur. Rungsing aku dibuatnya.....Adakah mereka tak tahu pelayaran ini tidak lama dan masa sedang berlalu.
Alangkah ruginya mereka ni.....belum pasti Bahtera Ramadan ini akan dapat dinaiki oleh mereka lagi pada tahun depan. Lagipun kalau mereka sempat menaiki Bahtera Ramadan di tahun depan belum pasti mereka betul-betul sihat dan bersedia dari sudut fizikal dan mental untuk menghadapinya.
Aku beharap sangat agar Bahtera Ramadan ini mampu membawa kami semua mencapai destinasi Takwa dan belabuh di pelabuhan Kejayaan .






0 comments:
Post a Comment